Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana bijak kaki2 tipu, kami berusaha 'mendapatkan kaedah/sumber' untuk mengintai kelas lanjutan yang khas mendidik pelajar2 tahun 2 bagaimana untuk menipu dengan lebih berkesan hingga amat sukar dikesan! Kami bermurah hati untuk berkongsi pengetahuan rahsia rasmi ini dengan para pembaca. Jom lihat...!
(Catatan: Nama2 telah dipadam/ubah demi mengelak gangguan peribadi terhadap pemberi2 maklumat)
EKSKLUSIF!
BAGAIMANA MENGELENTONG 201
– Kelas Hari Pertama
Prof: Selamat pagi. Kamu semua telah lulus kelas asas kelentong 101 yang cukup mencabar semester lepas. Tahniah dan selamat kembali ke kelas saya semester ini, kelas lanjutan, Bagaimana Mengelentong 201. Sesiapa yg belum mengambil kelas Bagaimana Mengelentong 101 atau belum lulus kelas itu, kamu telah silap kelas dan sila beredar sekarang dengan senyap. Saya ulang, ini adalah kursus Bagaimana Mengelentong 201 untuk pelajar tahun 2.
Baiklah, jika semua sudah sedia, kita mulakan pelajaran baru untuk hari ini.
Saya ingin mulakan dengan memberi kamu suatu tugasan pemanas badan, satu pengasah fikiran yang mungkin sudah tumpul akibat terlalu banyak berparti dan berdangdut semasa cuti semester lepas. Sebabnya mudah: seorang pengelentong yang benar2 meyakinkan mestilah sentiasa dalam keadaan berfikiran tajam, tangkas, kreatif dan sentiasa bersedia, walaupun sedang berpesta atau dalam keadaan mabuk; bukan lembab, tumpul dan terhegeh2. Untuk tujuan ini, tugasannya pun mudah dan ringkas: ingat lagi kertaskerja kamu buat semester lepas, di mana kamu menulis secara berpasangan untuk mereka satu cerita kreatif berkenaan suatu pengelentongan besar tahap mega yang terperinci dan menyeluruh? Ingat?
Kelas: Ingat!
Prof: Bagus. Sekarang saya mahu kamu dan pasangan yang sama, menokok lagi cerita itu supaya jalan ceritanya dipanjangkan sedikit lagi. Inilah latihan bagi kamu menjadi lebih kreatif, berfikiran tajam, tangkas dan sentiasa bersedia untuk mengelentong lagi dan lagi!
Baiklah, kita mulakan dengan pasangan pengelentong terhebat dalam kelas asas semester lepas, Ajib dan Imah. Sambung jalan cerita kamu dahulu, masih ingat lagi?
Imah: Dengan jelas!
Prof: Bagus. Mulakan dengan sedikit ringkasan tentang jalan cerita dahulu... di mana kamu berdua memegang watak rekaan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan isteri Perdana Menteri...
Imah: 'Wanita Pertama Malaysia', bukan 'isteri Perdana Menteri'!
Prof: Haha! Apa-apalah. Mulakan...
Imah: Em, dalam cerita dulu kami dapat mengelentong 10 perkara sekaligus: 1. Mengelentong dalam kontrek kerajaan demi mendapatkan 'komisen' lumayan sejumlah 600 juta; 2. Mengelentong negara kononnya bercuti di Eropah sedangkan tujuan sebenar ialah menguruskan penerimaan 'komisen' tersebut; 3. Mengelentong untuk mendapatkan masa bagi 'percutian' itu sedangkan masa yang sama bertimbun tugas sebagai Perdana Menteri, semata2 supaya tidak terlepas habuan 'komisen' seperti yang dirunding; 4. Mengelentong untuk memberi gambaran bahwa kami adalah rapat dengan keluarga diraja Arab, yang dipandang tinggi oleh dunia Islam termasuk Malaysia; 5. Mengelentong untuk memberi gambaran bahwa kami diiktiraf dan disanjung sebagai orang jujur dan berhati mulia oleh keluarga diraja Arab itu; 6. Mengelentong untuk memberi gambaran bahwa kami malah diberi anugerah duit lumayan oleh keluarga diraja Arab atas 'kejujuran' kami, walaupun bukan begitu yang sebenarnya berlaku; 7. Mengelentong untuk memberi gambaran kepada rakyat umum, bahwa kami memang pemimpin berperwatakan mulia yang mendahulukan derma kebajikan dan bukan gelojoh mengaut hadiah peribadi semata2, walaupun sebenarnya jumlah 'derma' yang kami 'sedekahkan' cumalah sebahagian yang sangat kecil daripada jumlah 'komisen', tetapi mampu mendapatkan sanjungan dan sokongan amat besar dari rakyat; 8. Mengelentong dengan memberi gambaran kepada rakyat umum, bahwa kami prihatin tentang kebajikan rakyat lantaran segera memberi derma sedangkan 'derma' itu adalah habuan berbentuk projek amal yang mendahulukan penyokong2 setia kami sahaja, semata2 bertujuan menguatkan kedudukan kami sebagai pemimpin nombor 1 mereka tanpa digugat; 9. Mengelentong untuk memberi gambaran kepada rakyat umum, bahwa kami memang pemimpin berperwatakan mulia yang mendahulukan derma kebajikan, sedangkan 'derma' itu cumalah kaedah 'mengitar dan membersih' sebahagian duit komisen kami supaya kesemuanya kelihatan bersih, sah dan halal; 10. Mengelentong dengan cara melibatkan 'pengiktirafan' suruhanjaya pencegah rasuah sendiri, untuk memberi gambaran kepada rakyat bahwa kami memang pemimpin bersih dan tidak terlibat dalam sebarang rasuah atau menerima sebarang komisen
Ajip: Dan perlu diingatkan, walau dengan segala2 yang disebut tadi, termasuk walau mengongsikannya untuk 'kebajikan', kami masih memiliki sebilangan besar duit 'komisen' itu yang masih belum terusik, dan tidak akan didedahkan oleh orang2 yang tahu dan tidak akan dibuktikan oleh orang2 yang syak, lantaran kesemuanya bebas kami belanjakan sesuka hati bagi gaya kehidupan mewah!
Prof: Betul. Itulah cerita kamu dahulu. Sekarang cuba sambung. Sambung sedikit sahaja, tak perlu panjang macam kertas dulu tu...
Ajip: Em. Kami masih memiliki sebahagian besar duit komisen yang ratusan juta itu. Kami gunakannya berdikit2 untuk kehidupan mewah dan senang-lenang, tetapi 'berdikit' kami itu sebenarnya melibatkan angka juta juga! Kehidupan mewah kami ini bersesuaian dengan taraf kami sebagai vvip dalam negara... contohnya, kami berdua masing2 memiliki beberapa kereta besar dan mewah, termasuk sebuah pacuan empat roda Porsche Cayenne Turbo setiap seorang; malah adik, kakak, ayah, emak, abang ipar, mertua, besan, biras, semuanya kami berikan Porsche Cayenne setiap seorang; menantu juga kami berikan saham syarikat2 menjual kereta2 mewah sebegini; ada yang kami berikan AP secara langsung; ada yang kami syaratkan pada orang lain yang ingin AP kerajaan supaya melantik ahli keluarga dan saudara kami sebagai pengarah...
Prof: Sebentar... contoh kamu sudah cukup banyak tu; tetapi, walaupun ia juga melibatkan kelentong sana kelentong sini, tetapi kelentong itu tidak relevan dengan kelentong sebenar jalan cerita asal, iaitu berkenaan rasuah 'komisen' yang kamu terima
Imah: Tapi Prof, sebenarnya sebarang kelentong mengenai cara kami berbelanja mewah adalah berkaitan dengan cerita asal iaitu 'komisen' kami, kerana kelentong itu adalah cara kami mengitar dan membersih duit komisen yang banyak tersebut supaya kelihatan seolah2 duit sah dari perniagaan ahli keluarga dan sebagainya...
Prof: Em... ya, kamu betul, maafkan saya. Memang itu rentetan secara langsung dari kelentong asal. Baiklah, teruskan cerita kamu...
Imah: Pada masa sama, kami terpaksa berdepan dengan pilihanraya...
Ajip: Em, pilihanraya? Mungkin satu pilihanraya kecil...
Prof: Jangan 'mungkin-mungkin' atau teragak2!
Imah: Ya, pilihanraya kecil, tetapi tetap penting bagi kami, kerana ia boleh memberi gambaran jelas tentang populariti kami dan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan kami, samada segala pengelentongan kami sebutkan tadi berjaya memadamkan desas-desus yang mendakwa kami menerima rasuah berbentuk komisen kontrek
Ajip: Ya. Pilihanraya kecil yang amat penting
Imah: Seperti biasa, rakyat rata2nya mengukur prestasi pemimpin dan kerajaan berdasarkan keupayaan membangunkan pelbagai projek2
Ajip: Ya, itulah bezanya antara kerajaan yang memerintah dengan pembangkang yang hanya tahu membidas!
Imah: Em, oleh itu, kami merangka 1 lagi bentuk pengelentongan untuk memenangi pilihanraya ini
Ajip: Walaupun bukan kami sendiri yang bertanding sebagai calon...
Imah: Memanglah bukan kita jadi calon, tapi kita adalah pemimpin parti yang bertanding!
Ajip: Em... parti diutamakan...
Imah: Parti diutamakan hanya bila ianya boleh memberi pulangan baik kepada kita!
Ajip: Betul!
Imah: Baiklah, kami bercadang menggunakan sebahagian sangat kecil lagi daripada baki 'komisen' yang masih banyak milik kami, untuk membuat satu projek...
Ajip: Projek kebajikan untuk rakyat, untuk sekali lagi menunjukkan kami memang mendahulukan rakyat!
Imah: Ya. Kami akan membelanjakan 1 juta!
Ajip: Itu sudah cukup lumayan untuk satu pilihanraya kecil!
Imah: Memang! Tapi 1 juta bagi kami umpama 1 ribu sahaja! bayangkan, 1 juta daripada 600 juta, tak sampai 0.2 peratus pun!
Ajip: Betul betul betul!
Imah: Baik. Semasa berkempen untuk pilihanraya kecil itu, kami umumkan akan membina satu pusat... untuk rakyat setempat...
Ajip: Ya, kami umumkan akan membina satu pusat... yang boleh digunakan oleh penduduk tempatan...
Imah: Bukan
Ajip: Bukan?
Imah: Kita kena kelentong penduduk tempatan yang akan mengundi itu secara halus, gunakan pendekatan psikologi...
Ajip: Em... jadi...
Imah: Jadi, saya yang buat pengumuman itu. kerana, jika perdana menteri yang umumkan, penduduk akan muak dan jijik kerana melihatnya hanya sebagai satu 'projek mi segera' atau janji manis untuk memancing undi sahaja, bukan suatu iltizam ikhlas!
Ajip: Em...
Imah: Saya yang umumkan. Jadi ianya mestilah suatu projek kelolaan dan kesayangan saya sebagai Wanita Pertama...
Ajip: Projek kebajikan untuk wanita, pusat untuk wanita! Atau untuk para ibu! Ibu tunggal! Janda!? Andartu?
Imah: Atau pusat untuk anak-anak kecil...
Ajip: Atau pusat untuk bayi terbuang... bukan, untuk gadis2 muda yang melahirkan anak luar nikah... atau gadis2 muda mangsa rogol!
Imah: Hish! Ke situ je pikirnya!
(satu kelas termasuk profesor terbarai ketawa)
Imah: Saya akan umumkan rancangan untuk pembinaan suatu pusat penjagaan, pengasuhan dan pendidikan untuk kanak-kanak...
Ajip: Baiklah...
Imah: Saya yang bersifat keibuan, ingat lagi?... memang merupakan penaung projek demikian untuk seluruh Malaysia...
Ajip: Bagus!
Imah: Jadi secara semulajadi saya yang buat pengumuman tersebut... bukan Perdana Menteri atau mana2 menteri lain!
Ajip: Baiklah
Imah: Saya sendiri buat pengumuman pembinaan pusat penjagaan, pengasuhan dan pendidikan kanak2 di kawasan itu berharga 1 juta... sebelum tempoh berkempen bermula
Ajip: Sebelum? Bukankah itu bahan kempen yang elok semasa berkempen?
Imah: Memanglah bahan kempen yang elok, tetapi kita kena gunakan pendekatan psikologi secara halus, ingat? Bila dibuat di luar tempoh berkempen, tidaklah ianya kelihatan sebagai janji kempen pilihanraya sahaja!
Ajip: Em, betul betul betul!
Imah: Betul. Saya umumkan sebelum kempen bermula, kerana memang selalunya suruhanjaya pilihanraya akan sengaja meletakkan satu ruang tempoh antara hari mereka umumkan pilihanraya akan diadakan, dengan hari dibenarkan kempen bermula...
Ajip: Ya, betul...
Imah: Jadi bila saya umumkan waktu itu, bukan Perdana Menteri, dan di luar tempoh kempen, tidaklah terang2 gelagat nak pancing undi semata2...
Ajip: Tapi tetap melekat di hati dan kepala penduduk untuk menyokong dengan mengundi kita!
Imah: Ya, lagipun, semasa waktu kempen yang sah kemudian, Perdana Menteri atau sesiapa ahlli politik yang berceramah kelak bolehlah ulang2 semula secara halus tentang projek 1 juta saya tu, sebagai contoh keprihatinan pemimpin terhadap rakyat!
Ajip: Bagus!
Imah: Tapi untuk memastikan penduduk tempatan mengundi parti kita, kita kena beritahu bahwa projek saya ini akan hanya dibina jika kita menang kerusi tersebut!
Ajip: Eh, bukankah itu nampak macam janji kempen pilihanraya?
Imah: Em... ya, tapi ingat, kita kena menang kerusi ini, untuk meneruskan kesinambungan kepada populariti kita sebagai benar2 pemimpin yang disokong rakyat!
Ajip: Baiklah, tapi jika begitu kita kena beri alasan kepada penduduk...
Imah: Betul. Em, kita katakan tempat nak buat pusat tu belum ada...
Ajip: Ya! Tanah sebagai tapak pembinaan pusat itu belum dapat diperuntukkan... kerana kawasan itu buat masa ini adalah di bawah tadbir pembangkang!
Imah: Betul! Pembangkang tidak memberikan kerjasama untuk mengenalpasti dan mewartakan tanah untuk tapak pusat itu!
Ajip: Oleh itu, pentadbiran mestilah ditukar dari pembangkang kepada kerajaan, supaya masalah tapak boleh diselesaikan dulu!
Imah: Betul, tapi hal tanah adalah urusan kerajaan negeri, bukan kerajaan tempatan
Ajip: Em...
Imah: Negeri itu memang dibawah tadbiran pembangkang...
Ajip: Termasuk kawasan untuk pilihanraya kecil ini...
Imah: Ha! Jadi lagi lah penting kita menang pilihanraya kecil ni, untuk menaikkan semula populariti dan semangat kita!
Ajip: Betul! Dan untuk memenangi semula negeri itu sedikit demi sedikit
Imah: Kita mesti menang jadi kita mesti pancing undi penduduk setempat sebanyak mungkin!
Ajip: Kita kena tabur janji yang berkaitan dengan kebajikan penduduk setempat, kerana itulah yang lebih penting bagi mereka berbanding isu2 negara yang lebih besar!
Imah: Tepat sekali! Jadi kita... saya... umumkan rancangan projek pembinaan pusat penjagaan, pengasuhan dan pendidikan kanak2 di kawasan itu, dengan syarat penduduk kawasan itu mengundi kita... calon kita... kerana dengan cara itu sahaja isu tanah tapak dapat diselesaikan
Ajip: Maknanya, jika penduduk tempatan terus mengundi pembangkang, soal tanah tidak akan menemui jalan penyelesaian, jadi kita tidak akan membina pusat kanak2 di situ
Imah: Ya
Ajip: Baiklah. Itulah sahaja sambungan ringkas jalan cerita kami
Imah: Sekian, terima kasih (tersenyum bangga)
Prof: Bagus. Satu pengembangan jalan cerita yang cukup baik. Tapi saya ada soalan untuk kamu berdua. Jika parti kamu menang pilihanraya kecil kawasan itu, adakah kamu akan meneruskan projek pembinaan pusat kanak2 yang kamu umumkan?
Imah: Ya. Saya akan tunjukkan yang saya bukan hanya menabur janji kosong untuk memancing undi. Lagi pun, seperti yang saya katakan, setakat 1 juta tiada masalah bagi kami, seperti yang saya katakan, ianya tak sampai 0.2 peratus dari 600 juta 'komisen' kami
Prof: Baiklah. Semua sila ambil perhatian, itu merupakan suatu ciri yang dipanggil "satu kebenaran dalam satu`pengelentongan".
Secara keseluruhan, ia merupakan satu pengelentongan besar, titiktolak permulaannya ialah penerimaan rasuah yang besar, kemudian diikuti dengan rentetan pengelentongan terperinci, satu demi satu, untuk menutup rasuah itu yang memerlukan lebih dari 1 penipuan kerana jumlahnya yang sangat besar dan ketara.
Dalam kursus asas semester lepas kamu telah belajar bahwa untuk menjadi pengelentong yang bagus, kamu mesti ada sebilang kecil 'rakan kongsi' atau tali barut yang turut sama dalam skim kelentong itu - seluruh ahli kumpulan ini mesti tahu apa yang mereka kelentongkan dan apa objektif kelentong itu. Kamu juga belajar bahwa untuk tahu apa yang kamu kelentongkan, perincian adalah sangat penting. Perincian yang baik dan selaras akan menjayakan sesuatu kelentong. Kamu juga telah belajar bahwa adakalanya sesuatu perincian itu mestilah pula disenyapkan sahaja, untuk mengelak soalan2 lanjutan yang akhirnya mungkin menjurus ke arah pembongkaran kelentong asal itu.
Baiklah, dalam kursus lanjutan semester ini, kamu kena perhatikan, bahwa mana2 dan bila2 sesuatu perincian perlu diketengahkan, kamu mesti bijak menentukan apakah bentuk perincian tersebut, samada: a) perincian itu merupakan satu lagi kelentong kecil atau kelentong lanjutan yang menyokong atau menguatkan kelentong asal; b) perincian itu sendiri merupakan satu kebenaran, yakni sesuatu yang memang benar2 berlaku, tetapi ia menyokong kelentong asal; atau c) perincian itu merupakan sesuatu yang tergantung, yang belum berlaku, dan sesuatu yang mungkin akan berlaku atau mungkin tidak. Bagi pilihan (c) ini, tukang kelentong kena berhati2 terutamanya jika perincian yang belum berlaku itu adalah di luar kawalannya. Dia mesti bijak memperjudikan keadaan ini. Sebaliknya, jika dia mempunyai pengaruh untuk menentukan samada perincian ini berlaku atau tidak mengikut kesesuaian matlamat pengelentongan asal, maka pilihan ini adalah yang terbaik dari ketiga2 bentuk perincian, kerana sesudah ia berlaku, dia boleh mendabik dada dan berkata: "Kan saya dah cakap, sekarang masih tak percaya?"
Berbalik kepada cerita Ajib dan Imah tadi, perhatikan bahwa janji mereka untuk membina pusat itu jika menang pilihanraya sebenarnya merupakan perincian jenis (c), kerana ia tergantung, masih belum berlaku. Cuma di sini ada kelainan sedikit, iaitu ianya bersyarat. Jika menang, ia dibina. Jika kalah, ia tak dibina. Jika menang, mereka memang akan bina, lalu mereka boleh melaungkan kepada rakyat: "Kan saya dah cakap, sekarang masih tak percaya?" Perhatikan dalam keadaan ini, mereka beroleh dua kali kejayaan - yang pertama mereka berjaya dalam pilihanraya kecil itu, dan yang kedua ialah mereka berjaya menguatkan lagi kepercayaan rakyat bila sahaja mereka menunaikan janji membina pusat itu setelah diundi. Ini kejayaan berganda. Ini pilihan perincian yang terbaik berdasarkan syarat yang diberikan.
Tetapi, mari kita lihat jika sebaliknya pula berlaku. Ingat bahwa kawasan itu kini, yakni sebelum pilihanraya, adalah kerusi milik pembangkang. Maknanya ada kemungkinan pengundi setempat masih setia mengundi pembangkang dan tidak memenangkan mereka. Jadi apakah kesan jika mereka kalah dalam pilihanraya kecil itu? Janji mereka ialah jika menang, mereka akan bina. Itulah syaratnya. Maknanya jika kalah, mereka tidak bina. Perhatikan baik2. Jika mereka kalah pilihanraya itu, bermakna rakyat tetap menolak kepimpinan mereka lalu kurang mengundi mereka. Rakyat masih tidak mempercayai kejujuran mereka, dan masih syak atas pembabitan mereka dalam rasuah komisen seperti desas-desus yang tersebar. Jadi mereka kalah pilihanraya. Bila selesai pilihanraya pula, seperti yang mereka sendiri syaratkan, mereka tidak membina pusat kanak2 yang sepatutnya sesuatu yang sangat diharap2kan penduduk. Apakah maksudnya? Sudah tentu perasaan rakyat semakin jijik terhadap mereka yang dianggap hanya gila kuasa! Jika mereka tidak diberikan kuasa memerintah oleh pengundi, maka pengundi dihukum dengan menidakkan projek rakyat. Maka rakyat akan semakin membenci dan menjauhkan diri dari mereka. Rakyat tidak akan menerima dan menghiraukan alasan mereka bahwa kesulitan mendapatkan tapak menjadi punca menghalang pembinaan. Rakyat sedar sebagai Perdana Menteri yang menerajui kerajaan pusat yang memegang kuasa besar dan memiliki sumber pelbagai, mustahil alasan itu tidak boleh ditangani - kegagalan itu hanya dicap sebagai kepimpinan yang tidak cekap! Di sini terjadi pula kekalahan berganda, kalah ketika pilihanraya dan kalah lagi selepas pilihanraya, yakni populariti semakin merudum. Ini bukanlah perincian terbaik, semata2 kerana syarat yang sama juga yang mereka sendiri tetapkan tadi!
Ajip: Jadi, pengelentongan kami yang berbentuk perincian bersyarat ini sebenarnya satu dilema bagi kami, bagaikan 'ditelan mati emak, diludah mati bapak'. Apakah penyelesaian terbaik, Profesor?
Prof: Penyelesaiannya... tunggu kelas akan datang. Sekian untuk kelas Bagaimana Mengelentong 201 hari ini. Kamu boleh bersurai sekarang
catatan:
a.bakal kita intai lagi kelas menarik ini jika berkesempatan...
b.untuk rujukan, lihat pembelajaran terdahulu (klik butang kanan tetikus pada pautan di bawah, dan klik Open In New Tab):
1. How To Lie 101 (Bagaimana Mengelentong 101)
2. Bagaimana Mengelentong 101 – Bhg 2
3. Bagaimana Mengelentong 101 – Bhg 3 (Akhir)
|
>>